Monday 17 December 2012

Soal Jawab Mengenai Aqidah



1- Apa itu aqidah dan kaitannya dengan amalan kita ?
Aqidah membawa erti pegangan dan kepercayaan seseorang. Pegangan dan kepercayaan ini pula terbahagi kepada dua iaitu benar atau salah.

Aqidah yang benar merupakan kunci kepada segala penerimaan ibadah.

Tanpa aqidah yang benar Allah tidak akan menerima segala amalan salih. Sekiranya aqidah seseorang itu salah maka yang akan dicatit hanyalah amalan keburukan maka akan hanya dibalas dengan keburukan.
Justeru itu, perkara yang berkaitan dengan aqidah tidak harus dijadikan gurauan senda atau diremeh-remehkan. Hubungan aqidah dan amalan salih ini berdalilkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan barangsiapa melakukan amalan salih dari kalangan lelaki ataupun wanita
dalam ia beriman (beraqidah dengan aqidah yang betul) maka merekalah yang
akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak akan dizalimi walaupun sedikit”.
(Al-Nisa’ ayat 124)
Ayat tersebut jelas menerangkan bahawa apa sahaja amalan salih yang dilakukan orang
lelaki mahupun perempuan, imanlah syarat utama penerimaannya dari Allah. Begitu juga
kenyataan dari hadith Nabi yang bermaksud:
“Semulia-mulia amalan adalan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya
(beraqidah dengan aqidah yang betul)”.
(Sahih al-Bukhariyy)
Ini menandakan bahawa aqidah merupakan sesuatu yang teramat penting dan perlu diutamakan dari masalah-masalah yang lain.

2- Apakah aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah ?
Pertamanya perlu diketahui bahawa kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan al-Qur’an, al-Hadith serta ijma‘ ulama. Aqidah Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah Ta‘ala sendiri di dalam al-Qur’an dan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah di dalam hadith Baginda tanpa mereka menyandarkan sifat tasybih atau tajsim bagi Allah, mereka juga menafikan dan menolak bagi Allah itu bersifat duduk, bertempat, berkaki, berbetis, zat yang turun naik dari langit ke bumi, berada di atas langit, berada di atas ‘arasy, dan sebagainya dari sifat yang tidak layak bagi Tuhan yang mencipta segala makhluk-Nya.

Ini semua berdasarkan firman Allah di dalam Surah
al-Syura ayat 11 yang bermaksud:
“Tiada sesuatupun yang menyerupai-Nya”.
Aqidah Ahli Sunnah juga mepercayai bahawa Wujud-Nya Allah tanpa diliputi tempat berdalilkan juga dari sabda Nabi Muhammad yang bermaksud:
“Allah telah sedia wujud (azali) dan tiada sesuatupun selain Allah itu azali”.
(Riwayat al-Bukhariyy dalam Sahih al-Bukhariyy)
Hadith Nabi tersebut menunjukkan bahawa Allah sahaja yang wujudnya azali manakala tempat, ‘arasy, langit, dan selainnya bukan azali.
Perkara tersebut wajib diimani berdasarkan juga Ijma‘ para ulama yang telah pun dinukilkan oleh Imam ‘Abd al-Qahir bin Tahir al-Baghdadiyy dalam kitab al-Farq Bayna al-Firaq halaman 333 cetakan Dar al-Ma‘rifah jelas menunjukkan kewujudan Allah bukanlah berada di atas ‘arasy, akan tetapi Allah wujud tanpa diliputi oleh tempat:
“Dan telah disepakati dan di-ijma‘-kan bahawa Allah tidak diliputi tempat”.

3- Siapakah Ahli Sunnah Wal Jama’ah ?
Pada dasarnya, Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka yang berpegang dengan aqidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad secara fahaman yang betul dan tidak berpegang kepada zahir nas al-Mutasyabihat. Kelompok ulama yang membawa ilmu aqidah Al-Asya’irah merupakan ِulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah pada zaman kini seperti Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar al-Asqolaniyy dan puluhan ribu lagi ulama Islam yang menyebarkan ilmu tauhid Al-Asya’irah.
Begitu juga Al-Maturidiyyah merupakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah zaman kini seperti pengikut mazhab Imam Abu Hanifah. Rujuk Ithaf as-Saadah al-Muttaqin Bi Syrhi Ehya ‘Ulumiddin oleh Imam Az-Zabidy.

4- Apa itu ulama As-Salaf & Apa aqidah mereka ?
Ulama As-Salaf pada dasarnya merupakan ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan mereka adalah ulama yang pernah melalui kehidupannya pada era 300 Hijriyyah pertama.

Kesemua ulama Salaf berpegang dengan aqidah bahawa: -
Allah adalah Tuhan sekalian alam yang mencipta setiap sesuatu, wujud-Nya tanpa permulaan dan tanpa pengakhiran, Maha Suci Allah dari dilingkungi dan diliputi oleh tempat, bahkan wujud-Nya tanpa berada di sesuatu tempat, bukan di langit wujud-Nya bukan di bumi pula tempat-Nya. Allahlah Pencipta ‘arasy, diciptakannya untuk menunjukkan kekuasaan-Nya, bukan pula ianya dijadikan tempat bagi zat Allah. Kerana Dia Pencipta tempat maka Dia tidak memerlukan tempat.

5- Buktikan bahawa aqidah ulama As-Salaf adalah “Allah Wujud Tanpa Bertempat” ?
Di sini akan dibawa sebahagian sahaja kenyataan dari para ulama As-Salaf termasuk para sahabat Nabi sebagai bukti menunjukkan bahawa aqidah ulama Salaf antaranya adalah
Allah wujud tanpa tempat:
i. Seorang sahabat Nabi yang terkenal dengan keilmuan beliau pernah dipuji oleh Rasulullah iaitu Imam Sayyidina ‘Ali karramallahu wajhah wafat pada 40 Hijriyyah pernah berkata yang bermakna:
“Sesungguhnya Allah telah wujud tanpa tempat,
maka Dia sekarang tetap sedia wujud tanpa tempat”.
Kenyataan tersebut dinyatakan dalam kitab karangan Imam Abu Mansur al-Baghdadiyy dalam kitab beliau yang masyhur al-Farq Bayna al-Firaq pada halaman 256 cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ini memberi erti bahawa di antara aqidah para sahabat serta ulama Salaf adalah ‘Allah wujud tanpa bertempat’ iaitu tidak dilingkungi oleh sesuatu tempat mahupun semua tempat. Dalam halaman kitab yang sama juga dinukilkan kenyataan Imam ‘Ali yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mencipta ‘arasy adalah untuk menzahirkankekuasaan-Nya dan
bukanlah untuk dijadikan tempat bagi zat-Nya”.
ii. Imam al-Syafi‘iyy rahimahullah yang wafat pada 204 Hijriyyah pernah berkata:
“Dalil bahawa Allah wujud tanpa tempat adalah Allah Ta’ala telah wujud
dan tempat pula belum wujud, kemudian Allah mencipta tempat dan
Allah tetap pada sifat-Nya yang azali sebelum terciptanya tempat, maka
tidak harus berlaku perubahan pada zat-Nya dan begitu juga tiada
pertukaran pada sifat-Nya”.
Kenyataan Imam al-Syafi‘iyy tadi dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Murtadha az-Zabidyy di dalam kitab beliau berjudul Ithaf al-Sadah al-Muttaqin juzuk kedua, mukasurat 36 Dar al-Kutub al ‘Ilmiyyah.
iii. Imam yang terkenal dengan karangan kitab aqidah beliau berjudul ‘Aqidah al-Tahawiyyah bernama Imam al-Hafiz Ahmad bin Salamah Abu Ja‘far al-Tahawiyy wafat pada 321 Hijriyyah (merupakan ulama Salaf) telah menyatakan dalam kitab beliau tersebut
pada halaman 15, cetakan Dar al-Yaqin yang bermaksud:
“Allah tidak berada (tidak diliputi) pada enam penjuru (atas, bawah,
kanan, kiri, depan, belakang) seperti sekalian makhluk”.

6- Apakah pegangan ulama As-Salaf pada ayat dan hadith al-Mutasyabihat pula ?
Pegangan ulama Salaf pada ayat dan hadith al-Mutasyabihat mengenai sifat Allah Ta‘ala
adalah didapati kebanyakan ulama As-Salaf memilih jalan tidak mentakwilkan secara tafsiliyy (terperinci) ayat tersebut akan tetapi ditakwil secara ijmaliyy (menafikan makna zahirnya) dan diserahkan makna sebenar kepada Yang Maha Mengetahui tanpa berpegang dengan zahirnya, tanpa menyandarkan sifat tasybih, tajsim dan bertempat bagi zat Allah.
Akan tetapi wujud di kalangan ulama Salaf yang mentakwilkan secara tafsiliyy ayat
Al-Mutasyabihat seperti Imam al-Bukhariyy di dalam kitab beliau Sahih al-Bukhariyy
mentakwilkan firman Allah di dalam Surah al-Qasas ayat 88:
“Wajah-Nya” bererti kerajaan-Nya.

No comments:

Post a Comment